Oleh : AFEEQA AFEERA
GOMBAK, 28 SEP : Zaman kanak-kanak tetap diingati lantaran dipenuhi dengan permainan, sejarah dan nostalgia yang menjadi kenangan manis buat mereka yang sudah dewasa.
Seperti individu lain, Mohamed Azmin Ali turut mempunyai pengalaman sendiri dalam meniti kehidupan sebelum bergelar pemimpin disegani dan dihormati.
Dato’ Menteri Besar itu berkata Klang Gates adalah kawasan ‘rayau’nya lebih 40 tahun lalu dan menjadi tempat kegemaran untuk bermain bersama rakan-rakan pada hujung minggu.
“Ini adalah kawasan rayau saya sebenarnya apabila di belakangnya ada palung air panjang untuk saya bermain setiap hari.
“Saya akan berlari-lari dari satu hujung ke hujung yang lain kerana dulu tiada ipad atau kafe siber,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku ‘Coffee Table’ Permatang Kuarza Gombak, di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata kawasan itu juga pernah menjadi kebun beliau sekeluarga suatu ketika dahulu untuk bercucuk tanam seperti pisang, serai, daun pegaga dan lain-lain.
Malah katanya beliau bersama rakan-rakan juga gemar memancing di empangan meskipun ia kesalahan dan pulang ke rumah ibunya selepas itu untuk makan tengah hari.
“Saya bukan dari keluarga bangsawan atau senang, sebaliknya dilatih untuk belajar hidup susah dan akhirnya atas kesusahan itu, saya berada di posisi ini hari ini untuk memahami betapa susahnya rakyat yang perlu mendapat pembelaan,” katanya.
EZY