Categories
SELANGOR

Azmin: Setahun dilantik MB, Putrajaya dalam bayangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 25 SEP: Selepas setahun dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu, ada sesuatu sentiasa terbayang-bayang di fikiran Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berkata, bayangan itu semakin jelas difikirannya apabila barisan kepimpinan Kerajaan Negeri berjaya membuktikan kemampuan mentadbir sebuah kerajaan dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan cekap.

“Apa yang saya sentiasa terkenang-kenang, terbayang-bayang adalah hasrat kita nak ke Putrajaya. Insya Allah boleh tercapai tetapi hanya boleh dilaksanakan kalau kita dapat tunjukkan perpaduan dan keupayaan kita membangunkan ekonomi di Selangor.

Program MB korban di Sabak Bernam (15)“Kalau kita berjaya, kita boleh jadikan Selangor sebagai model di peringkat nasional bahawa kita mampu mentadbir dan mengurus sebuah negara dengan penuh bertanggungjawab,” kata Mohamed Azmin kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor ke Sabak Bernam sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menekankan kesedaran rakyat apabila jelas kecurangan dilakukan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir dan mengurus dana awam.

Tegas beliau, rakyat harus bertanggungjawab untuk memilih kerajaan yang mampu memacu negara ke arah lebih baik berbandin pentadbiran yang ada sekarang membawa ke kancah pelbagai masalah khususnya ekonomi.

Pada 23 September lalu, genap setahun Mohamed Azmin menerajui pentadbiran Negeri Selangor selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.