Categories
SELANGOR

GLC sumbang RM1.2 juta sempena Piala Sultan Selangor

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 SEP: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek sumbangan RM1.8 juta sempena penganjuran Piala Sultan Selangor edisi ke-14, di Grand Ballroom, Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Lebih membanggakan, RM1.2 juta daripadanya disumbangkan empat anak syarikat (GLC) Kerajaan Negeri.

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM600,000 sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Landfills Sdn Bhd dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) masing-masing menyumbang RM200,000.

IMG_1579Sultan Sharafuddin menerima sumbangan cek itu sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana, Tan Sri Abdul Karim Munisar.

Piala Sultan Selangor 2015 bakal berlangsung di Stadium Shah Alam dengan pertembungan dua perlawanan veteran Selangor menentang veteran Singapura dan pilihan Selangor menentang pilihan Singapura, pada 24 Oktober ini.

Perlawanan pasukan veteran akan bermula pada jam 8.00 malam diikuti pasukan pilihan, pada jam 9.00 malam.

Edisi ke-14 itu bakal diserikan dengan tarian 200 pelajar daripada 17 sekolah di Selangor serta persembahan nyanyian kumpulan Caliph Buskers.

Mengikut rekod, Pilihan Selangor sudah menjuarai Piala Sultan Selangor sebanyak tujuh kali sejak ia dipertandingkan, pada 2001.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.