Oleh: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memandang serius kecaman masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berikutan kegagalan beliau memberikan penjelasan mengena ‘derma’ sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang diterima dalam akaun peribadi Presiden Umno itu.
Minggu ini, beberapa badan dunia yang terlibat dalam membanteras rasuah pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah (IACC) ke-16 di Putrajaya, mengkritik kegagalan PM dan Kerajaan Malaysia dalam menangani gejala rasuah.
KEADILAN berasa gusar apabila Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia.
Naib Pengerusi TI, Elena Panfilova menegaskan sokongan badan antarabangsa itu terhadap Perhimpunan Bersih4 yang turun ke jalanan bagi mendesak PM menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadi beliau.
Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika beliau mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur, untuk membuat pelaburan di Malaysia. Turuk mengkritik PM juga adalah Setiausaha Agung TI, Salil Shetty dan anggota IACC, Michael Hershman.
Bagi KEADILAN, kenyataan-kenyataan ini adalah senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas. Malah di kalangan anggota komponen BN dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti PM, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal-skandal lain.
Tindakan PM merombak Kabinet dengan memasukkan Pengerusi dan beberapa orang anggota PAC dalam kerajaan, jelas bertujuan menghalang siasatan menyeluruh dilakukan terhadap beliau.
Majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti-rasuah antarabangsa, mengkritik sikap berdiam diri PM terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya.
KEADILAN turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta itu dan apakah tujuan derma itu?
KEADILAN mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan PM memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion.
SELAMATKAN MALAYSIA
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN