Oleh : NORHAYATI UMOR
PETALING JAYA , 18 SEP: Jerebu yang melanda negara ketika ini boleh menjejaskan sektor pelancongan sekiranya keadaan itu berlarutan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata kesan buruk itu bukan sahaja akan berlaku di Selangor, malah seluruh negara.
“Kita memahami perkara ini sukar diselesai, jika berlarutan ia akan memberi kesan kepada kedatangan pelancong ke negara ini.
“Tahun ini tahun melawat Selangor, kita tidak mahu ia terjejas,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Expo Hidup Sihat, di Sunway Hotel dan Spa, di sini.
Elizabeth berkata penyelesaian menyeluruh dapat dilakukan jika ada daya politik daripada negara-negara Asean khasnya Singapura dan Malaysia.
“Isnin lalu, saya ada syorkan kepada Menteri Alam Sekitar supaya pergi ke Jakarta untuk berbincang bagi menawarkan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa untuk lebih peka selain sentiasa menyemak Indeks Pencemaran Udara (IPU) supaya mengetahui penutupan sekolah.
“Kita tidak mahu berlaku perkara seperti Selasa lalu, di mana kenyataan rasmi dikeluarkan tengah malam dan ada di antara ibu bapa yang tidak mengetahui masih menghantar anak ke sekolah.
“Ibu bapa kena proaktif, jangan tunggu kenyataan rasmi, apabila IPU sudah mencecah berbahaya sekolah sudah tentu akan ditutup,” katanya.
Pada 15 September lalu, 2,045 sekolah di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup kerana bacaan IPU menghampiri tahap sangat tidak sihat.
Pemerintah di Sumatera sudah mengisytiharkan tahap bencana kepada penduduk di sana.
Keadaan jerebu di Pantai Barat Semenanjung berterusan selagi api di Sumatera gagal dipadamkan dan menyebabkan jangkaan jerebu berakhir kerana bergantung kepada faktor angin dan usaha pemadaman api di Sumatera.
-NR-