Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 14 SEP: Keluarga adik Mohd Harris Asraf, 2 menerima bantuan pembelian rumah kos rendah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Bukit Beruntung, Rawang.
Ia adalah bantuan susulan setelah LZS menyalurkan beberapa bantuan lain bagi mengurangkan beban Harris yang menghidapi masalah usus sejak lahir.
“LZS mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga pembayar zakat yang membolehkan kami membantu golongan asnaf yang memerlukan,” kata LZS menerusi laman rasmi facebooknya.
Sebelum ini, keluarga Harris termasuk ayahnya, Rohaizat Ashikin menerima bantuan kewangan dan makanan bulanan, pendidikan, bantuan raya, tunggakan bil hospital serta perubatan.
Pada 2013, Rohaizat yang bekerja sebagai pemandu teksi terbeban dengan kekangan anaknya itu sehingga beliau hilang fokus berkerja seterusnya menyebabkan tunggakan sewa teksi.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan mereka bertambah sukar sebelum disantuni LZS yang kemudian membiayai hutang sewa teksinya.
Harris menghadapi masalah kesihatan sejak dilahirkan dan memerlukan penjagaan rapi daripada kedua ibu bapanya.
-NR-