Oleh: SYASYA SUFIAN
SEMANGAT dan kegigihan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali untuk turut serta turun padang dan melakukan terjahan dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes daripada terus berleluasa demi keselamatan rakyat.
Sepanjang setahun di bawah pentadbiran beliau pelbagai inisiatif yang dilakukan dan sehingga hari ini usaha itu tetap diteruskan dengan kerjasama dari Exco, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.
Mohammad Azmin berkata, Kerajaan Negeri sememangnya mahu permasalahan sampah, demam denggi, keselamatan awam dan penyelenggaraan jalan menjadi fokus utama selepas dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar.
“Tindakan tegas diambil kepada pihak yang didapati menjadi punca pembiakan Aedes seperti notis pemberhentian kerja, kompaun atau rampasan lesen ke atas pemaju jika masalah sama masih berulang.
“Saya sendiri menyambut kedatangan Menteri Kesihatan ke Selangor supaya setiap keputusan dibuat perlu kolektif antara pusat dan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Azmin sudah menerjah ke beberapa lokasi bagi Program Terjah dan Musnah Aedes antaranya di daerah Petaling.
“Kita mengambil tindakan proaktif melancarkan kempen terjah dan musnah aedes dengan saya sendiri terbabit secara langsung dengan semua Adun melancarkan program di setiap daerah dan lokaliti mencatatkan kes tinggi.
“Kerja pembersihan itu dilakukan di kawasan hotspot, pangsapuri kos rendah, tapak binaan selain mengadakan pemeriksaan di Kampung Baru Cina, longkang dan di seluruh taman awam serta rekreasi,” katanya.
-NFN-