Categories
SELANGOR

Tahniah rakyat Selangor, tujuh tahun tolak rasuah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 SEP : Rakyat Selangor wajar berbangga ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) yang bebas rasuah selama tujuh tahun mentadbir negeri terkaya itu.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohd Shafie Ngah berkata sehingga kini belum ada pemimpin Kerajaan Negeri didakwa walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) begitu responsif dan agresif terhadap sebarang maklumat berkaitan perbuatan rasuah di Selangor.

Katanya, ia berbeza dengan Kerajaan Negeri di era Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang kerap berhadapan pelbagai skandal semasa berkuasa.

Shafie Ngah“Rakyat di Selangor layak berbangga kerana membuat pilihan yang tepat pada 2008 dan 2013 memilih Pakatan.

“SPRM meletakkan tahap siap siaga yang tinggi di Selangor berbanding negeri lain sejak Pakatan mentadbir.

“Kita dapat lihat bagaimana kes kematian mendiang Teoh Beng Hock di mana akhirnya tiada kes tetapi SPRM begitu tegas dan pantas jalankan siasatan,” kata Shafie kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan bukan sahaja bebas rasuah bahkan berjaya membendung amalan pembaziran dan ketirisan yang berlaku di era BN.

Jelas beliau, keadaan ini membolehkan penduduk di Selangor menerima pelbagai manfaat menerusi konsep perkongian hasil negeri kepada rakyat.

Pada Mac lalu, genap tujuh tahun Pakatan menerajui Selangor selepas memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), 2008.

Pada PRU-13, 2013, kepercayaan pengundi Selangor bertambah kukuh apabila Pakatan menambah lapan lagi kerusi kepada 44 kesemuanya berbanding PRU-12.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.