Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 24 SEP: Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan Wifi Selangorku di 2,500 hotspot seluruh negeri adalahberita gembira kepada penduduk di Selangor.
Kakitangan Swasta, Shana Shang, 28, berkata dia gembira dan pada masa sama berharap kawasan perumahannya dipilih menjadi lokasi pelaksanaan perkhidmatan itu.
Katanya, jika sebelum ini dia perlu membayar untuk mendapatkan perkhidmatan itu, namun melalui pemberian WiFi percuma ternyata mampu mengurangkan kos dan membolehkannya menjalankan urusan harian dengan lebih mudah.
“Bagi saya, usaha ini wajar dipuji. Tidak semua pengguna mampu melanggan data internet terutama pelajar dan golongan kurang berkemampuan.
“Kemudahan Wifi juga memudahkan pelancong yang datang melawat ke Selangor terutama mencari tempat yang popular dari semasa ke semasa,” katanya kepada Selangor Kini.
Sementara itu, Nataf Zulkifli, 29, menyifatkan kemudahan itu boleh dimanfaat kepada peniaga atas talian.
Katanya, peniaga boleh memasarkan produk melalui perkhidmatan Wifi yang disediakan tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri.
“Bagi peniaga, internet menjadi landasan penting kepada mereka khususnya dalam membuat pembayaran bil serta mempromosikan produk.
“Justeru, perkhidmatan mengakses internet secara percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri adalah pendekatan terbaik yang dapat memajukan rakyat di samping memperluaskan lagi pengetahuan khusus bagi golongan muda,” katanya.
Suri Rumah, Yushida Yusof, 37, berharap kemudahan Wifi percuma itu terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan kelajuan mengakses internet yang sangat memuaskan walaupun bilangan pengguna ramai.
“Sudah tentu gembira mendengar inisiatif ini. Bagi pelajar, mereka diharap dapat menggunakan kemudahan ini sebaiknya,” katanya.
-NFN-