Categories
NASIONAL

ABIM: Serangan bom Ankara kejam, sabotaj keamanan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 OKT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk keras serangan bom di Ankara, Turki dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata serangan itu adalah perbuatan sabotaj daripada pihak tertentu yang mahu perpecahan dan kekacauan terus berlaku di negara itu.

Katanya insiden itu bukan hanya tertumpu di satu kawasan sahaja, malah pernah berlaku di beberapa lokasi berbeza sebelum ini seperti Istanbul.

turki“ABIM menerima berita keganasan di Ankara sebagai sedih dan mendukacitakan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Turki menghadapi pilihan raya pada 1 November dan serangan itu ada kaitan dengan ketegangan daripada segi politik dan keselamatan di selatan Turki dan sempadan Iraq dan Syria yang didakwa melibatkan kumpulan Islamic State (IS),” katanya kepada Selangor Kini.

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat seluruh dunia untuk memberi solidariti kepada rakyat Turki dan mengecam tindakan ganas itu sekeras-kerasnya.

Raimi berkata insiden itu memberi kesan berpanjangan kepada situasi tidak stabil di Turki dan dibimbangi menjejaskan keselamatan rakyat Malaysia di sana.

“ABIM prihatin tentang perkara itu dan kita sedang menghantar ucapan takziah kepada teman yang kini berada di Turki.

“ABIM juga berhasrat untuk mengatur pertemuan dengan kedutaan di Turki bagi mendapat gambaran lebih lanjut dan menyatakan takziah kita,” katanya.

ABIM RAIMISekurang-kurangnya lebih 100 terkorban setakat ini dalam kejadian letupan bom di sebuah perhimpunan aman di Ankara selepas dua pengebom berani mati bertindak meletupkan diri.

Dilaporkan serpihan daging manusia bertaburan di atas jalan selain mayat bergelimpangan dengan ada diselimuti bendera parti politik.

Dua letupan kuat di persimpangan berhampiran stesen kereta api utama Ankara itu meningkatkan bahang politik di negara itu yang bakal mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1 November depan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.