Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 20 OKT: Jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh didedahkan pada masa ini.
Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), berkata ini perlu dirahsiakan bagi mengelakkan pemimpin BN yang masih setia dengan Datuk Seri Najib Razak memintas strategi yang sedang diatur rapi.
“Mereka harus memutuskan sekiranya mereka percaya negara perlu memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan parlimen, mereka harus mempunyai keberanian untuk menyokong gerakan ini.
“Adalah (jumlah Ahli Parlimen BN sokong undi tak percaya), ini strategi. Kita sedar kita perlukan jumlah selesa untuk menjayakan gerakan ini dan kita sedang berusaha untuk ini.
“Kita lihat nanti, saya tidak mahu buat kesimpulan sekarang tetapi ini masa terbaik untuk semua Ahli Parlimen termasuk dari BN sekiranya mereka percaya negara memerlukan kepimpinan kuat bagi memulihkan keyakinan pelabur atau biar rakyat hukum mereka sekiranya mereka melepaskan peluang ini,” kata Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian kepada media di Lobi Parlimen selepas menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke dua, hari ini.
Mohamed Azmin juga yakin Ahli Parlimen yang melepaskan peluang menyingkirkan Najib akan dihukum rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Jelas beliau, ini berikutan rakyat sudah sedar tingkah-laku Najib terutama melibatkan skandal 1MDB yang merugikan rakyat dan negara.
EZY