Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 30 OKT : Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan beliau meluluskan pembinaan tiga lebuh raya di Selangor yang mendapat bantahan ramai pihak.
Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan media sosial sebelum ini bahawa beliau bertanggungjawab meluluskannya dalam tempoh setahun.
“Ini tidak benar, saya sudah mendapat rekod jelas bila lebuh raya ini diluluskan dan mereka sudah memenuhi syarat ditetapkan.
“Namun, ada beberapa lebuh raya seperti Damansara-Shah Alam (DASH) ada bantahan supaya jajaran akhir di Damansara Perdana mesti diteliti terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Mohamed Azmin berkata, pihaknya sudah bertemu Menteri Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta mereka berhubung dengan penduduk sebelum jajaran itu diberi kelulusan.
Beliau berkata, langkah sama turut diambil terhadap Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) apabila Kerajaan Negeri menghalang pembinaan jajaran melalui permatang kuarza dan Empangan Klang Gate.
“Maka, sekarang ini ada bantahan daripada penduduk supaya jalan keluar daripada Ukay Perdana itu tidak dilebarkan tetapi dibuat jejantas.
“Saya sudah meminta pemaju berbincang dengan penduduk terbabit sebelum keputusan akhir tentang jajaran lebuh raya diputuskan,” katanya.
Kerajaan Selangor didakwa meluluskan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sejauh 32 kilometer menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) dari Sri Petaling ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.
-nR-