Oleh: NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 24 OKT: Hampir tiada sebarang pembaharuan dalam Belanjawan 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah berkata, ini termasuk pengumuman pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sudah diulang umum beberapa kali sebelumnya.
“Perkara lain saya tak nampak projek baru termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang dah diumumkan lama beberapa tahun lalu, menunggu pelaksanaan dan BR1M pula serta lainnya masih lagi tak menyelesaikan masalah,” kata Nurul Izzah.
Beliau berkata demikian kepada media di Lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2016 oleh Najib yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam.
Ketika menyentuh pengumuman menjadikan lebuh raya terbabit sebagai lebuh raya bebas tol, Nurul Izzah bimbang langkah diambil hanya langkah sementara bagi Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.
“Kenapa langkah sama tidak diambil di Semenanjung? Sukar untuk kita percaya sedangkan pada masa ini Kerajaan Persekutuan menghadapi kekangan dana yang serius,” katanya lagi.
Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaannya apabila Najib tidak mengambil kesempatan dalam pembentangan belanjawan untuk menjalankan reformasi ekonomi menyeluruh khususnya langkah membendung ketirisan, pembaziran dan amalan rasuah dalam Kerajaan Persekutuan.
EZY