Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 4 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti luar ekoran cuaca jerebu semakin berlarutan dan sentiasa memakai topeng muka apabila keluar dari rumah, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.
Elizabeth berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JAS) sedang memantau keadaan ketika itu untuk tindakan selanjutnya dan akan menasihatkan Kerajaan Negeri berkenaan tindakan selanjutnya mengikut Prosedur Operasi Standard, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Orang ramai juga perlu memantau tahap kesihatan mereka ekoran jerebu rentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Ia akan dijangka bertambah buruk akibat cuaca kering ekoran fenomena El Nino,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
“Kita akan umum nanti. Ketika ini, pemantauan masih dilakukan. Jika dilihat IPU kelihatan turun, namun sedikit sahaja dan ia membimbangkan,” katanya.
Setakat jam 11 pagi tadi, lima kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan IPU tidak sihat terutama Shah Alam dalam bacaan berbahaya iaitu 308.
Sementara itu, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Kelestarian Persekitaran, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, berkata walaupun fenomena El Nino berada di peringkat sederhana, namun ia diramal berlanjutan sehingga Mac 2016 dan boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.
“Fenomena El Nino menyebabkan cuaca kering tidak dapat memulihkan situasi jerebu yang wujud ekoran terhadnya penurunan hujan. Ini menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan berkenaan udara tercemar dan mudah masuk ke dalam saluran pernafasan kita,” katanya.
Abdull Rahim berkata, perubahan iklim sekeliling memberi kesan pada keseimbangan alam, menimbulkan gangguan ekosistem dan menjejaskan pengeluaran makanan serta boleh mengakibatkan gejala penyakit seperti demam denggi.
El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya adalah hujan lebat di sesetengah kawasan juga berlaku kemarau berpanjangan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail pula berkata, keadaan jerebu memang diramalkan semakin pulih kerana taufan Dujuan yang lenyap di China, namun perubahan angin di Sumatera dan Kalimantan yang sepatutnya ke Indonesia berpatah balik menyebabkan Malaysia terjejas.
-NFN-