Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 8 OKT: Tindakan Pengerusi NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos menggelarkan Anthony Loke sebagai ‘manusia babi’ jelas menunjukkan parti itu kian bankrap untuk menarik sokongan rakyat apabila hanya menumpukan ‘serangan’ berunsur perkauman.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata gelaran itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan menunjukkan kegagalan Umno menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara.
“Ini satu tindakan yang hanya ingin memanaskan hati orang Melayu sahaja. Pandangan orang terhadap Umno juga akan menjadi lebih teruk daripada sekarang.
“Bila gagal menyelesaikan masalah rakyat, mereka mengungkapkan perkataan sedemikian. Cara ini tidak bagus untuk (pembangunan) negara,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.
Katanya, Jamal harus mengkritik dengan cara yang betul dan tidak perlu tampil tampil dengan gelaran kurang enak jika benar ingin menarik sokongan.
Terdahulu, Jamal mendakwa mendengar Loke mengucapkan kata-kata kesat kepada orang Melayu melalui sebuah video yang dimuat naik di Youtube.
Loke menafikan sekerasnya perkara itu dan menyifatkan beliau menjadi mangsa fitnah dengan dituduh memekik perkataan ‘celaka Melayu’ ketika ditahan polis, pada 6 Oktober lalu.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beliau hanya mencelakakan pemilik tanah yang mengusir penduduk Kampung Ulu Temiang, Seremban, tidak kira bangsa termasuk Melayu.
Beliau bersama 14 individu lain ditahan polis kerana membantah pengusiran Kampung Ulu Temiang.
-NFN-