Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 2 OKT: Orang ramai yang berhasrat memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan disaran menyertai Karnival Perumahan dan Hartanah Bumiputera 2015 (Hartabumi’15).
Karnival itu akan disertai pemaju hartanah dengan pelbagai projek pembangunan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 10 dan 11 Oktober ini.
Menurut laman sesawang Homefinder Malaysia, antara yang bakal mencuri tumpuan adalah Rumah Selangorku dengan harga mampu milik bermula RM42,000 seunit.
“Sektor hartanah tempatan terutama di Selangor dijangka akan mengalami pertumbuhan memberangsangkan dengan penyertaan pemaju hartanah dan projek pembangunan masing-masing di bawah satu bumbung.
“Ia juga mampu menepati citarasa dan selera pembeli rumah atau pelabur hartanah dengan pelbagai pilihan yang tersedia ketika tempoh karnival berlangsung,” katanya.
Pada masa sama, katanya pengunjung dapat memperoleh ilmu pengetahuan berkenaan hartanah tempatan dan informasi untuk memiliki rumah atau pelaburan hartanah berkaitan.
Majlis perasmian akan disempurnakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.
-NFN-