Categories
NASIONAL

Jerebu kembali, tujuh kawasan catat IPU tidak sihat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak tujuh kawasan hari ini kembali mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100.

Semakan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 8 pagi ini, Kuching dan Samarahan di Sarawak kekal tidak sihat dengan bacaan masing-masing 102 dan 111.

Turut berada di zon tidak sihat ialah dua kawasan di Selangor iaitu Banting dengan bacaan 106 dan Pelabuhan Klang dengan 107.

Dua kawasan di Melaka juga kembali dihantui udara tidak sihat iaitu Bandaraya Melaka dengan bacaan 109 dan Bukit Rambai (102), selain Tawau, Sabah (106).

Pada masa sama, sebanyak 32 kawasan mencatatkan bacaan sederhana sementara 13 yang lain berada di zon sihat.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk menyemak bacaan IPU semasa.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.