Oleh: LIZAWATI MADFA
GOMBAK, 9 OKT: Pengurusan masjid digesa untuk melaksanakan pendekatan lebih kreatif dalam usaha menarik minat belia dan remaja mengimarahkan masjid.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihak pengurusan boleh mencontohi masjid yang berjaya melaksanakannya sama ada dari dalam atau luar negara.
“Masjid seharusnya menjadi tempat percambahan ilmu kerana ini adalah tuntutan Islam, bukan sekadar tempat beribadah semata-mata.
“Seperti Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW berfungsi sebagai pusat pendidikan, juga sebagai pusat ekonomi seperti fungsi baitulmal untuk mengagihkan zakat dan sedekah,” ucapnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Masjid Zakaria Batu 8 1/2 di sini tengah hari ini, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menyeru kedaulatan masjid sebagai ‘one stop centre’ kembali dihidupkan di Selangor.
“Malah ketika zaman Rasulullah SAW, masjid pertama dibinanya menjadi asas penyatuan kaum Ansar dan Muhajirin.
“Begitu juga dengan Masjid Nabawi diimarahkan dengan pelbagai kegiatan bukan sahaja untuk umat Islam tetapi komuniti bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian,” katanya.
EZY