Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 4 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan ke The House of Parliament, London sekali lagi bagi penerimaan anugerah Green Apple Award 2015 melalui projek pengurangan sisa pepejal.
Pegawai Komunikasi Korporat, Shahrin Ahmad, berkata anugerah itu bagi kategori ‘Environment Best Practice’ yang dianjurkan The Green Organisation yang berpangkalan di United Kingdom.
“Anugerah ini sebagai pengiktiraf amalan menjaga alam sekitar yang diamalkan sesebuah pertubuhan, organisasi, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan kerajaan dari seluruh dunia.
“Penganugerahan dan pengiktirafan itu menjadi dorongan dan motivasi kepada warga MBSA untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih cekap serta efisyen kepada masyarakat khususnya penduduk Shah Alam,” katanya.
Tahun lalu, MBSA juga menerima anugerah bagi kategori sama bagi kawasan Laman Seni Seksyen 7 yang mengetengahkan hasil daripada Projek Pengindahan Lorong Belakang.
“Melalui projek itu, MBSA mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap kawasan lorong belakang yang tidak terurus kepada persepsi positif hingga menjadi pusat tumpuan pelancongan, menggalakkan aktiviti komuniti setempat, seni dan budaya.
“Selain itu, Laman Seni juga pernah memenangi Anugerah ‘Planning Excellence Awards 2014’ melalui kategori ‘Place Making & Public Space Award’ daripada Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP),” katanya.
-NFN-