Oleh: Lee Chean Chung
Tiga hari sebelum pembentangan Belanjawan 2016, saya terpanggil untuk mengingatkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa beliau sudah janji bahawa Kerajaan UMNO/BN akan mendedahkan cara perbelanjaan hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka mencecah RM31.4 bilion.
Bulan April hingga Jun 2015 melihatkan hasil kutipan GST sebanyak RM7.6 bilion, ataupun secara puratanya RM85 juta sehari.
Kutipan GST dijangka melonjat untuk pertengahan kedua tahun 2015 apabila syarikat yang hasil tahunannya kurang daripada RM500,000 setahun memfailkan GST mereka.
Jangkaan hasil kutipan GST dalam Laporan Rancangan Malaysia Ke-11 adalah sebanyak RM31.4 billion untuk tahun 2015.
Sebelum ini Najib telah berjanji akan menjelaskan cara penggunaan GST menjelang pembentangan Belanjawan 2016 di Parlimen.[1] Saya turut mencadangkan bahawa pendedahan tersebut seharusnya telus dan komprehensif.
Oleh yang demikian, perkara yang wajar diumumkan kepada rakyat termasuk jumlah saman yang dikeluarkan dan dikutip, jumlah syarikat yang mendaftar, pembayaran balik GST untuk pelancong dan perniagaan, serta sebab-sebab kelewatan pembayaran balik rebat.
Sudah pasti perkara paling penting adalah ke mana perginya RM31.4 bilion yang dikutip tahun ini.
Saya menggesa Najib supaya berpegang kepada janji dan mengumumkan penggunaan hasil kutipan GST kerana rakyat berhak mengetahui ke mana wang rakyat dibelanjakan.
* Lee Chean Chung adalah ADUN Semambu & Ketua Penerangan AMK Pusat