Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: ‘Gula-gula’ kakitangan awam RM1.1 bilion, derma Najib lagi besar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Peruntukan tambahan RM1.1 bilion untuk kakitangan awam jauh lebih rendah berbanding ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengingatkan kakitangan awam dan rakyat tidak terperangkap dengan ‘gula-gula’ diumumkan dalam Belanjawan 2016 yang dibentangkan Najib semalam.

Nurul-Izzah“Walaupun diberi ‘gula-gula’, contohnya kakitangan kerajaan diberikan RM1.1 bilion tambahan tetapi rakyat kena sedar tak sampai pun derma RM2.6 bilion Najib.

“Makanya harus ada kesedaran kepada rakyat untuk menekan Kerajaan Persekutuan menyelesaikan masalah utama seperti rasuah salah guna kuasa, urus tadbir dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup,” kata Nurul Izzah selepas pembentangan Belanjawan 2016 di Dewan Rakyat, semalam.

Ketika menyentuh langkah membantu golongan 40 peratus yang menerima pendapatan terendah atau B40, Nurul Izzah berkata, tiada sebarang cadangan konkrit untuk membantu meringankan beban golongan itu.

“Patut ada keutamaan sasaran kepada golongan 40 peratus ke bawah atau B40 tetapi malangnya tak nampak cadangan dibawa menyelesaikan masalah mereka.

“Kami di Pakatan Harapan, antaranya mencadangkan kadar sifar untuk GST, maksudnya tidak ada GST bagi menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat yang pasti memberi kesan besar kepada B40,” kata Nurul Izzah lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.