Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Ketua Umum & Presiden PKR sempena Maal Hijrah 1437

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah bagi tahun 1437H kepada seluruh umat Islam di Malaysia dengan doa semoga tahun hadapan lebih baik untuk kita semua.

KEADILAN mengajak rakyat Malaysia sama ada yang Islam, mahupun yang bukan Islam, untuk sama-sama mengambil iktibar dan manfaat daripada pengertian sebenar hijrah dalam konteks kehidupan, yang pada asasnya didasari dengan pengorbanan ke arah kebaikan.

Hijrah merupakan sebuah kesungguhan untuk perubahan, islah atau reform. Jika kita seorang Muslim, hijrahlah supaya menjadi Muslim yang lebih baik. Jika bukan Muslim, usahalah untuk melipatgandakan kebaikan dan kebajikan dalam kehidupan.

Kerjasama dengan bukan Muslim tercetus sejak peristiwa Hijrah, di mana perjalanan baginda dan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah dipandu oleh Abdullah bin Arqat, yang ketika itu ia masih belum memeluk Islam.

Hijrah juga mengajar kita bagaimana hebatnya pengorbanan wanita, apabila Sayidatina Asma’ binti Abu Bakar ditugaskan untuk menghantar makanan kepada Rasulullah s.a.w dan ayahnya di tempat-tempat rahsia.

Sayidatina Asma’ RA begitu bijaksana dalam setiap langkah dan menghapuskan jejaknya, supaya orang-orang kuffar Quraisy yang sedang memburu tidak dapat mengesannya. Pengorbanan ini diperakui sebagai suatu detik yang amat penting dalam peristiwa Hijrah.

logo-pkr (1)Justeru KEADILAN mengajak semua pihak, khususnya pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengambil semangat Hijrah ini, untuk melakukan perubahan dalam negara kita yang tercinta.

Di saat yang mencabar ini, rakyat Malaysia berhadapan dengan krisis politik yang tidak menentu, krisis ekonomi yang semakin meruncing dan sistem sosial yang pincang akibat sikap berkepentingan orang politik, skandal dan penyelewengan serta perkauman yang mengugat keamanan serta kestabilan negara.

Jika kita imbas kembali bagaimana peristiwa yang berlaku 1437 tahun yang lalu, di mana Nabi Muhammad s.a.w berjaya menyatukan kaum Auz dan Khajraz yang sudah bermusuhan selama 120 tahun.

Nabi Muhammad juga membuat banyak kerjasama dengan pelbagai golongan dan agama dengan memeterai banyak perjanjian, antaranya Hilful Fudhul, Mitsaqudh Dzulmi, Baitul Aqabah (Perjanjian Aqabah) dan Mitsaqul Madinah (Piagam Madinah).

Nabi Muhammad juga membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Yahudi di Madinah, Perjanjian dengan Bani Junainah, Perjanjian dengan Bani Dhamrah, Perjanjian dengan Bani Mudlij, Perjanjian Baitur Ridhwan, Perjanjian Hudaibiyah dan banyak lagi.

HIJRAH MAALKesemua perjanjian ini, harus diambil iktibar oleh kalangan yang berpecah dalam konteks Malaysia, untuk bersatu dalam satu front yang dinamakan Pakatan Harapan, dengan satu tekad untuk menegakkan keadilan dan mengembalikan negara Malaysia ke landasan yang betul.

KEADILAN percaya, jika kita komited dengan usaha gigih kita, jika kita komited untuk melakukan islah untuk masa depan negara, insha Allah Malaysia akan mampu diselamatkan.

Semoga dengan semangat hijrah ini kita sama-sama ketepikan kelemahan dan persengketaan kita, kita buang keegoan kita, demi masa depan anak cucu kita.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1437.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
1 Muharram 1437H

Leave a Reply

Your email address will not be published.