Oleh: AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa portfolio Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dipisahkan bagi menghindarkan pemusatan kuasa melampau kepada satu individu.
Selain itu, Parlimen perlu bertindak bagi mengawal selia dana pelaburan negara untuk meningkatkan kebertanggungjawaban.
Gesaan itu dikemukakan dalam Belanjawan Alternatif 2016 PAKATAN yang dilancarkan hari ini di Parlimen bagi memastikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berulang.
PAKATAN juga mahu Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri serta menempatkan 1MDB di dalam pentadbiran bagi memulihkan keyakinan pasaran terhadap ekonomi negara.
“PAKATAN meminta pertolongan daripada Interpol dan badan kawal selia daripada negara lain untuk mengenalpasti, membekukan serta memulangkan aset dicuri ke Malaysia,” kata PAKATAN dalam buku Belanjawan Alternatif 2016.
Belanjawan PAKATAN mengesorkan kebertanggungjawaban dan kebebasan penuh diserahkan kepada Parlimen terhadap badan penguatkuasa seperti Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lantikan terhadap jawatan itu perlu dilakukan bukan secara politik.
EZY