Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 25 OKT: Premis perniagaan termasuk hotel, restauran mahupun bangunan pejabat disarankan menyediakan ruang khas seni bagi memastikan ekspresi seni ditonjolkan.
Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata hal itu selaras usaha memartabatkan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai Kota Seni.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bagi mencadangkan perkara itu.
“Sudah sampai masanya kita mencadangkan dasar iaitu mengenakan kelebihan yang boleh difikirkan untuk menggalakkan Kota Seni menjadi sebahagian dalam masyarakat.
“Mungkin perlu difikirkan bentuk insentif yang diberikan sebagai galakan lebih ramai premis menyertai ruang kesenian mereka,” katanya kepada Selangor Kini.
Amirudin memuji usaha SACC Mall yang ke hadapan dalam menyediakan ruang khas bagi peminat Buskers.
“Jadual penggunaan tempat ini disediakan kemudian tertakluk kepada pentadbiran.
“Setakat ini, SACC Mall ke hadapan dalam usaha ini. Ini bakal menjadikan ikutan kepada premis lain,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata penganjuran Festival Seni Selangor 2015 (Selfiesta’15) bakal dijadikan program tahunan.
EZY