Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 14 OKT: Timbalan Dekan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zainul Rashid Mohamad Razi, 57, dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 1437 peringkat Selangor di sini, semalam.
Majlis sambutan tahun baharu Hijrah dan penganugerahan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, dalam suasana sederhana tetapi meriah dengan kehadiran muslimin dan muslimat dari seluruh Selangor.
Anugerah itu disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah, yang mewakili kekandanya, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda turut menyampaikan anugerah Tokoh Keluarga Mithali kepada pasangan Haron Ahmad dan Nuraini Ismail, Tokoh Saudara Kita, Dr Nur Athiroh Masyaa’il Tan Abdullah dan Anugerah Pertubuhan atau Badan Dakwah Sukarelawan Selangor, Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BAKEWANIS).
Majlis dimulakan selepas solat Maghrib dengan Tengku Sulaiman melafazkan titah perasmian sambil diikuti bacaan ayat suci Al-Quran dan tazkirah agama.
Anugerah Tokoh Maal Hijrah adalah anugerah tahunan kepada individu yang banyak menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dalam pembabitan pelbagai aktiviti seperti sosial, ekonomi dan pendidikan yang memberi kesan kepada gerakan dan perkembangan Islam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang mewakili Dato’ Menteri Besar serta Exco Kerajaan Negeri.
Tidak ketinggalan, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim.
EZY