Oleh: HAFIZAN TAIB
BERCERITA perihal sukan di negara ini khususnya Selangor, ia mencakupi pelbagai kisah suka duka dan tidak kurang ada yang menarik untuk dikongsi bersama.
Dengan pelbagai prasarana dan kemudahan gelanggang tersedia, Selangor menikmati pelbagai kejayaan membanggakan dalam tempoh panjang yang mengangkatnya antara negeri utama dalam pembangunan sukan.
Sememangnya negeri termaju ini sinonim dengan banyak kejayaan dalam sukan seperti bola sepak, badminton, olahraga, boling, hoki dan beberapa acara lain.
Namun, perancangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bagi pembangunan sukan memerlukan kerjsama dan pembabitan pelbagai pihak berkaitan demi merealisasikan hasil diimpikan.
Dengan moto ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’ membayangkan kesungguhan MSN Selangor memartabatkan negeri ini sebagai kuasa utama sukan di Malaysia.
“Apabila menerajui MSN Selangor, saya bertekad mencurahkan segala kebolehan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di negeri ini,” kata Pengarah Eksekutifnya, Mohd Zubir Idrus.
Dengan pengalaman luas dimiliki, tidak mustahil ia mampu digapai walaupun apa yang menanti dipercayai getir dan mencabar.
Pencapaian Selangor boleh dibanggakan apabila muncul sebagai juara lapan kali di Sukan Malaysia (SUKMA), namun agak merosot dalam edisi terakhir (2014) apabila sekadar menduduki tempat keempat.
Tentunya perancangan teratur dirangka MSN Selangor bagi meningkatkan potensi atlet negeri bagi memperhebatkan aksi dan mencabar kembali pasukan negeri lain dalam SUKMA 2016.
Pembangunan sukan di setiap daerah pastinya diberi tumpuan ke arah mengenalpasti bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
“Program terbabit adalah salah satu fokus sebagai persiapan pasukan Selangor untuk menghadapi temasya sukan seperti SUKMA.
“Kita memberi penekanan kepada sukan olahraga selain setiap daerah di Selangor perlu memilih sekurang-kurangnya dua sukan lain sebagai pilihan untuk dimajukan.
“Setiap daerah perlu membangunkannya dalam tempoh dua tahun hasil kerjasama Majlis Sukan Sekolah Daerah dan kelab di sekitarnya,” kata Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.
Dengan sokongan Kerajaan Negeri dan semua pihak berkaitan, Selangor boleh menaruh harapan tinggi selain melahirkan ramai atlet baharu berbakat besar untuk negeri dan negara selain terus muncul sebagai pencabar kepada negeri lain dalam setiap acara sukan yang disertai.