Oleh: HAFIZAN TAIB
KUALA LUMPUR, 24 OKT: Dalam keadaan ekonomi global mencabar ketika ini, negara diramal terus mengalami kesukaran dan terkesan dalam tempoh masa panjang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perancangan Malaysia bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 dengan belanjawan seimbang juga diyakini sukar direalisasikan berpandukan keadaan ketika ini.
Katanya, krisis ekonomi dihadapi kini dijangka memerlukan jangka waktu lama untuk diatasi dan rakyat pastinya perlu mendepaninya dalam situasi kos sara hidup tinggi.
“Kita mengalami belanjawan defisit dalam tempoh masa lama sejak kali terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkannya untuk 1998.
“Untuk tujuan itu kita kena tunggu dan lihat,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, semalam.
Presiden PKR itu berkata demikian ketika mengulas belanjawan 2016 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat.
Najib membentangkan belanjawan defisit dengan peruntukan RM267.2 bilion dan jangkaan hasil pendapatan RM225.7 bilion.
Pembentangan belanjawan 1998 adalah kali terakhir dilakukan Anwar selaku Menteri Kewangan sebelum disingkirkan daripada perkhidmatan Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan RM64.124 bilion dan anggaran hasil RM68.058 bilion iaitu lebihan keseluruhan RM3.934 bilion.
EZY