Oleh: HAFIZAN TAIB
KUALA LUMPUR, 22 OKT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, di sini, hari ini.
“Dengan kapasiti selaku Ketua Pembangkang, saya mengemukakan usul untuk mengambil ketetapan bahawa dewan tidak ada kepercayaan terhadap Ahli Parlimen Pekan sebagai Perdana Menteri.
“Ia sudah diterima dan berharap diluluskan untuk dibahaskan.
“Saya mempunyai sebab munasabah selain berkeyakinan bahawa majoriti dalam dewan bukan sahaja 88 Ahli Parlimen pembangkang tetapi bilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mencukupi ekoran hilang kepercayaan terhadap pimpinannya menerajui kerajaan,” katanya.
Wan Azizah berkata, usul terbabit hanya membabitkan hilang kepercayaan terhadap Najib bukan kerajaan, bahkan beliau dan pihak lain tanpa mengira fahaman politik percaya krisis ekonomi, sosial serta politik yang tenat dihadapi berasal daripada krisis kepimpinan dalam negara.
“Rakyat sedang menderita ekoran kos kehidupan yang semakin meningkat dan kesengsaraan ekonomi di bawah jagaan Najib apabila polisinya terbukti gagal serta transformasi dihebohkan sekadar retorik.
“Walaupun terdapat faktor luaran menyebabkan kejatuhan nilai ringgit seperti penurunan harga minyak dan komoditi.
“Sentimen dinyatakan ahli profesional dan ekonomi sebagai salah satu sebab kejatuhan itu adalah akibat daripada cara menguruskan siasatan skandal 1MDB serta RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri,” katanya.
Katanya, tindakan menyingkirkan mantan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail; mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pembubaran badan penyiasat skandal 1MDB serta beberapa tindakan lain secara tergesa-gesa adalah satu percubaan campur tangan dalam siasatan.
Kini, beliau berkata, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan kanan kerajaan menyuarakan kebimbangan terhadap kepimpinan Najib tidak terkecuali Majlis Raja-Raja.
“Saya yakin Ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani dan mengetepikan perbezaan politik serta meletakkan kepentingan negara mengatasi segala. Kita menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk tujuan ini, maka hanya perlu tunggu dan lihat,” katanya.
-NFN-