Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mahu anaknya meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini.
Beliau mempersoalkan tindakan polis yang tergesa-gesa untuk mengambil keterangan.
“Saya meminta nasihat peguam saya, buat masa ini anak saya ke sekolah seperti biasa.
“Kenapa nak cepat, tergesa-gesa mahu anak saya memberi keterangan. Anak saya akan menghadapi peperiksaan dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang.
“Boleh rekod selepas itu, tidak perlu tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri Selangor, di sini, malam tadi.
Anak lelaki Mohamed Azmin berusia 15 tahun dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.
Azmin mengumumkan perkara itu menerusi akaun Twitternya petang semalam.
Polis meminta anaknya hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi ini walaupun anaknya akan mula menghadapi peperiksaan akhir tahun pada hari yang sama.
Sebelum ini dalam laman makro Twitternya, Mohamed Azmin berkata polis mengeluarkan Notis Seksyen 111 untuk mengarahkannya dirakam.
“Anak kecil seawal 15 tahun sudah dizalimi pasti akan bangkit dan melawan kezaliman dan kemungkaran Umno. Syukur anak saya Basheer berani,” katanya.
Kira-kira sejam selepas Azmin menulis tweet itu, anaknya Basheer menulis tweet yang berbunyi: “Berani kerana benar, takut kerana salah.”
Manakala, selepas itu kira-kira jam 7.32 petang, Azmin menulis tweet: “Basheer, please focus on your exam” (Basheer, tolong tumpukan pada peperiksaan kamu).
EZY