Oleh: SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak RM500,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan anak syarikat kerajaan (GLC), swasta, agensi, badan korporat serta individu dalam Kejohanan Golf Amal Yayasan Islam Darul Ehsan 2015 pada 31 Oktober lalu.
Kejohanan anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan itu diadakan bagi merealisasikan objektif utama sebagai penyalur bantuan dan kebajikan umat Islam di Selangor
Sumbangan serta kutipan dana diterima disalurkan bagi melaksanakan aktiviti yayasan untuk bantuan kemasyarakatan seperti bantuan malapetaka, musibah, menguruskan hal ehwal anak yatim dan perkhidmatan rawatan haemodialisis.
Kejohanan itu disertai seramai 120 peserta daripada 19 buah syarikat kerajaan (GLC) dan swasta, agensi atau badan korporat yang terdiri daripada pemain golf professional, amatur mahupun para penyumbang sendiri.
Majlis penyampaian sumbangan tajaan dan hadiah disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa bersama Setiausaha MAIS selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohaann Golf Amal, Datuk Bakhtiar Hussin.
EZY