Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 3 NOV: Masalah jerebu yang melanda negara baru-baru ini memberi kesan pelancongan kepada Selangor dalam pelbagai aktiviti yang mahu dilaksanakan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata antaranya membabitkan acara pelacongan seperti Malaysia Women Marathon dan Morib International Duathlon 2015.
Katanya, pembatalan dan pengurangan aktiviti lawatan di tempat pelacongan terbuka atau ‘outdoor’ dikesan.
“Aktiviti terbuka dikurangkan dan pelancong terpaksa memilih aktiviti yang dijalankan secara ‘indoor’. Hal itu menyebabkan pilihan untuk menjalankan aktiviti lawatan menjadi terhad seperti di kawasan air terjun dan taman rekreasi.
“Selain pembatalan penerbangan, perancangan percutian melalui pakej pelancongan juga turut terjejas melalui masalah jerebu ini.
“Pelancong yang sudah membeli pakej pelancongan serta penginapan terpaksa membatalkan perancangan kerana faktor cuaca dan pencemaran udara yang teruk,” katanya.
Elizabeth (KEADILAN-Bukit Lanjan) berkata, Tourism Selangor bagaimanapun membantu pelancong dengan memberi info terkini berkenaan status jerebu di laman sesawang dan laman sosial.
“Tip, langkah penjagaan dan keselamatan ketika jerebu sangat berguna kepada pelancong untuk mengelakkan kesihatan pengunjung terjejas ketika musim jerebu,” katanya.
Masalah jerebu yang berlaku baru-baru ini berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan daripada Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
-NFN-