Categories
NASIONAL

KEADILAN ulangi pendirian teruskan tahaluf siyasi tumbangkan BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengulangi pendiriannya meneruskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PAS bagi mengukuhkan kekuatan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan itu tidak bermakna terdapat mana-mana pimpinan parti itu mempunya kecenderungan hanya kepada sesuatu pihak sahaja.

mbkongres web 1“Kita memimpin mereka untuk membawa perubahan tetapi seperti yang disebut oleh perwakilan dan kepimpinan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 11 Oktober, sementara kita memperkukuhkan Pakatan Harapan antara KEADILAN, DAP dan AMANAH, parti juga memutuskan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS, PSM dan parti di Sabah dan Sarawak.

“Malangnya bila tengok laporan media, seolah-olah saya yang nak ke sana sedangkan Presiden ke sini. Sebagai Timbalan Presiden KEADILAN saya patuh dan setia kepada Presiden dan keputusan parti. Jangan jadi seperti Utusan dan TV3,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan Ke-11 2015 di IDCC di sini, semalam.

Katanya, kegagalan parti pembangkang mengukuhkan kembali kesepakatan mereka hanya mengecewakan harapan rakyat ekoran mampu menyebabkan Barisan Nasional (BN) memiliki peluang cerah mengekalkan kuasa pada pilihan raya akan datang.

“Hari ini kita berhadapan pelbagai bentuk cabaran semakin getir. Ekonomi gawat, negara kita jerebu, bukan sahaja jerebu cuacanya tetapi juga jerebu politiknya, jerebu kepimpinan dan hilang keyakinan pelabur. Kita juga berhadapan krisis di kalangan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan hari ini.

“Saya sebagai pimpinan muda dalam parti mengharapkan kepada semua rakyat di luar sana bersama parti politik bersatu kamu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.