Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri bersedia menyerap kos pembinaan projek mitigasi loji rawatan air Labohan Dagang dan Semenyih dengan tidak menaikkan tarif air apabila projek terbabit siap.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata hal itu ekoran keprihatinan Kerajaan Negeri kepada kebajikan rakyat.
“Aturan biasa, sudah tentu dialihkan kepada pengguna melalui kenaikan kadar tarif. Namun, Kerajaan Negeri boleh menyerap kos itu bagi kepentingan rakyat.
“Projek itu membabitkan kos RM800 juta. Ia merupakan pelaburan besar menyelamatkan kekurangan bekalan air menjelang 2017 hingga 2019 ekoran kelewatan pembinaan Loji Rawatan Langat 2 mengikut tempoh ditetapkan,” katanya dalam penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2016.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pembinaan dua loji rawatan air di Labohan Dagang, Kuala Langat dan Semenyih 2 bagi menampung permintaan pihak industri dan pengguna domestik.
Beliau berkata tender bagi pembinaan loji di Semenyih 2 mula dibuka pada pertengahan Disember ini manakala loji di Labohan Dagang dibuka pada Mac 2016 dengan kerja pembinaan dijangka mengambil tempoh antara 18 hingga 24 bulan.
Projek Mitigasi 2 dilaksanakan bagi mengalihkan bekalan air bersih dari kawasan utara Selangor ke selatan negeri itu bagi menampung permintaan tinggi bekalan air.
EZY