Categories
NASIONAL

Mengapa gaji penasihat khas lebih tinggi berbanding PM?

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rasional di sebalik bayaran gaji lebih tinggi kepada penasihat khas dan duta kerajaan berbanding Perdana Menteri dipersoalkan wakil rakyat DAP.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata dalam bajet terkini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), gaji Penasihat Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Datuk Seri Noh Omar melebihi RM27,000 sebulan.

liew_chin_tong_01Katanya, gaji sama turut dibayar kepada Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Senarai penjawatan berkenaan maklumat gaji dan status pegawai kerajaan serta menteri tidak dibincang dalam Parlimen jadi ramai tidak tahu.

“Mengapa kerajaan memerlukan duta dan penasihat khas dengan gaji lebih tinggi berbanding Perdana Menteri yang hanya menerima gaji RM22,826 sebulan?,” soalnya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Chin Tong turut meminta Kerajaan Persekutuan supaya mendedahkan jika kontrak sementara beberapa duta dan perwakilan khas itu akan dilanjutkan.

Ia berikutan kebanyakan daripada mereka yang sepatutnya tamat kontrak baru-baru ini masih tersenarai dalam peruntukan bajet JPM.

“Duta khas tidak diperlukan sebaliknya kerajaan perlu memperkukuhkan Kementerian Luar Negeri bukannya meletakkan penasihat yang tidak menasihati apa-apa.

“Kerajaan memiliki pelbagai jawatan dan kementerian jadi gunakan sahaja khidmat nasihat dalaman,” katanya.

Kerajaan melantik Datuk Seri S Samy Vellu sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, manakala bekas presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pula dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.