Categories
SELANGOR

Nasib peneroka bandar diberi perhatian

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memberi milikan tanah, menawarkan tapak baru dan rumah alternatif atau gantian kepada peneroka bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata tawaran itu diberikan kepada penempatan terbabit yang dibina di atas tanah milikan kerajaan.

DNS-2015-smallKatanya, sebanyak 88 penempatan peneroka bandar dengan 3,289 keluarga dilaporkan wujud di Selangor sehingga kini.

“Peneroka bandar yang dikenali sebagai setinggan dijenamakan semula kerana pengiktirafan usaha mereka berhijrah ke bandar untuk membangunkan Selangor.

“Sejak 2010, sebanyak sepuluh penempatan dengan 776 keluarga diselesaikan, manakala selebihnya masih tinggal di penempatan sama,” katanya semasa sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Haslin Hassan (PAS-Tanjung Sepat) berkenaan penempatan setinggan direkodkan di Selangor sehingga kini.

Pada masa sama, Iskandar (PAS-Cempaka) berkata, peneroka bandar yang ditawarkan rumah kos rendah atau Rumah Selangorku adalah atas inisiatif pemaju.

Terbaru, katanya seramai 29 peneroka bandar di Kampung Seri Temenggung menerima pakej membeli Rumah Selangorku dengan harga istimewa.

“Mereka ditawarkan untuk membeli rumah itu pada harga RM65,000 sahaja berbanding harga asal pasaran berjumlah RM180,000,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.