KUALA LANGAT, 22 NOV: Kebanyakan rakyat menyambut baik usaha Kerajaan Selangor membantu dalam memberikan tumpuan kebajikan kepada petani, penternak dan nelayan di negeri itu.
Peniaga pasar tani, Ahmad Razali Mastuki, 37, berkata peruntukan yang diberi Kerajaan Negeri dapat membantu petani kecil di kampung mengembangkan lagi pertanian mereka.
“Yang lebih utama dapat membantu mempertingkatkan pendapatan, di samping memperkembangkan ilmu dalam asas tani,” katanya.
Sementara itu, pembantu veterinar, Mohd Asmawi Mohd Tayib, 34, berkata untuk mendekati petani adalah lebih efektif melalui Jawatan Kuasa Kampung (JKK) dan penghulu.
“Sebab mereka lebih mengenali siapa petani sebenar dan mengetahui masalah yang sering dihadapi adalah cara memasarkan produk pertanian dengan lebih berkesan.
“Saya berharap dengan peruntukan yang diberi, kerajaan dapat mengusahakan premis yang bersesuaian untuk petani memasarkan produk dengan harga mampu milik,” katanya,
Bagi Mat Shukor Sulaiman, 27, keprihatinan Kerajaan Negeri memberi tumpuan yang lebih pada sektor asas tani harus dipuji.
“Pertanian dan penternakan adalah pengeluar makanan terpenting di negeri ini. Seharusnya jaga kebajikan supaya hasil pengeluaran dapat diperkembangkan terutama dalam Selangor,”katanya.
-NFN-