Categories
SELANGOR

Selangor bebas Rabies, PBT digesa terus proaktif kekang wabak

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 NOV: Tiada laporan diterima berhubung penyakit anjing gila (Rabies) di Selangor setakat November.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata Kerajaan Negeri menetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhampiran kawasan sempadan mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) perlu meningkatkan usaha menangkap anjing liar tidak diketahui setatusnya.

ean yong“Kerajaan Negeri meminta semua PBT melakukan tangkapan anjing liar dan dua PBT itu perlu memperhebatkan tindakan ekoran berhampiran kawasan sempadan.

“Kerajaan Negeri meneruskan usaha tangkapan disetiap PBT supaya tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk,” katanya menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekichan).

Ean (DAP-Seri Kembangan) berkata, kekerapan pengujian sampel anjing daripada PBT dipergiatkan sebagai langkah pencegahan penyakit rabies.

Beliau berkata, ia dikuatkuasakan di semua PBT dengan kekerapan ujian daripada sekali setahun kepada setiap bulan sehingga Disember depan.

ANJING GILA“Sebelum ini, setiap daerah perlu menghantar satu sample namun kita tukar kepada satu sample oleh setiap PBT.

“Ia membabitkan kos sebanyak RM32,000. Vaksinasi juga perlu diberikan kepada anjing peliharaan jika mahu dieksport ke luar negara atau dibawa ke kawasan penampan wabak itu memandangkan Selangor bebas penyakit anjing gila,” katanya.

Beliau berkata, anjing ditangkap dikuarantin sebelum dituntut pemilik namun, dilupuskan jika tiada tuntutan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.