Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 6 NOV: Ng Suee Lim (DAP-Skinchan) mengakui kenyataan ingin menukar nama sebuah perkampungan nelayan Cina di Sabak Bernam adalah satu gurauan.
Katanya, kenyataan itu hanya satu jenaka yang diucapkan di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika berbahas tanpa berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Itu cuma lawak sahaja (kenyataan semalam). MB (Mohamed Azmin) pun tahu saya berlawak, dia pun berseloroh jika Noh Omar itu tak payahlah.
“Ini tiada kaitan dengan Noh Omar. Jika tiada kaitan, maka tiadalah. Kalau ini ada kaitan dengan Noh Omar tukarlah.
“Kalau tengok saya cakap semalam memang dalam nada gurauan. Bukan saya nak tukar Simpang Empat Bagan Nahkoda Omar kepada nama Cina,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Suee Lim meminta Kerajaan Negeri menukar nama perkampungan nelayan Cina iaitu Bagan Nahkoda Omar kepada nama Cina memandangkan ia didiami 100 peratus kaum Cina.
Sebagai contoh, beliau meminta nama kampung berkenaan ditukar kepada Bagan Nahkoda Chong ekoran tidak mahu dikaitkan dengan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.
Kenyataannya itu turut mendapat reaksi negatif apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos melabelkannya sebagai sesuatu yang berbaur rasis.
“Tak mengapalah. Ini politik. Kalau Jamal nak buat sidang media, buatlah. Saya biasa di kawasan Sekinchan di Sabak Bernam.
“Dia nak cakap saya rasis, terpulanglah. Ini politik, nak gelar saya rasis biar dia gelar,” katanya.
-NFN-