Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 25 NOV: Tindakan Umno berterusan menyerang pakatan pembangkang hanya bertujuan melindung pekungnya sendiri yang semakin membusuk.
Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman, berkata Umno kini dilanda barah paling berbahaya apabila Presidennya, Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat kepercayaan penuh ahlinya.
Katanya, Najib terdesak dan terpaksa bertindak kerana merasakan beliau akan kehilangan kuasa sebagai presiden parti itu.
“Ahli Umno di cawangan pasti tidak akan berdiam diri kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Timbalan Presiden yang sah.
“Tindakan Najib ini juga mendedahkan rahsia umum mereka bahawa wujud gerakan menjatuhkannya dalam kalangan ahli Umno sendiri,” kata Adun Paya Jaras itu kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Umno membenarkan ketua Wanita, Pemuda dan Puteri merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri kali ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden parti kebiasaanya diberi penghormatan merasmikan mesyuarat agung ketiga-tiga sayap Umno.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim, berkata Najib memecah tradisi itu hanya kerana mahu meminggirkan pengaruh Muhyiddin.
“Lebih jelas lagi, ia bagi menghalang Muhyiddin membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion.
“Semuanya ada udang di sebalik batu dengan cuba melindungi kisah sebenar daripada diketahui ahli Umno dan rakyat,” katanya yang juga Adun Sekinchan.
-NFN-