Oleh : AFIX REDZUAN
KLANG, 19 DIS: Wira perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri menyifatkan pencalonan dirinya dalam kalangan tiga penyerang terbaik sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 merupakan kenangan manis sepanjang karier bola sepaknya.
Meskipun penyerang Johor Darul Takzim (JDT) dan Kebangsaan, Amri Yahyah mengungguli kategori berkenaan, namun ia tidak mematahkan semangat beliau untuk melakukan lebih baik musim hadapan.
“Saya tidak kecewa dan menganggap ia bukan rezeki. Tercalon itu sudah membuatkan saya gembira dan tahniah kepada pemenang,” katanya.
Turut tercalon dalam anugerah sama seorang lagi pemain JDT dan penyerang kebangsaan, Safee Sali.
Bagi menghadapi musim hadapan, pemain kelahiran Sabah berusia 24 tahun itu akan memberikan tumpuan kepada latihan sepasukan dan meningkatkan mutu permainan memandangkan mereka bakal beraksi di Piala AFC.
Beliau turut menghargai kedatangan peminat sempena Jelajah Juara Piala Malaysia (JJPM) dan berterima kasih atas sokongan sepanjang aksi musim ini.
-nR-