Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 15 DIS: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 625 orang daripada 161 keluarga pagi ini berbanding 443 orang, semalam.
Mengikut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, sembilan pusat pemindahan dibuka dan Meru mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 242 orang.
Pusat penempatan Dewan Taman Gemilang, Dengkil merekodkan jumlah mangsa seramai 104 orang, Sekolah Kebangsaan (SK) Abdul Samad, Pekan Kapar seramai 58 orang.
Manakala di Surau RTB Labu Lanjut seramai 77 orang, Surau Ladang Tuan Mee (40), Dewan Orang Ramai Genting, Sepang (35), Balairaya Sungai Salak (30), Surau At Taufikiah Puncak Alam (22) dan Dewan MPK Kampung Kuantan (17).
Paras air yang melanda Kampung Salak, Dengkil, Labu Lanjut, Batu 15, Puncak Alam, Meru, Padang Jawa, Pekan Kapar dan Genting Sanyen mencecah 0 hingga 0.3 meter.
Penduduk mendakwa Meru dilanda banjir buruk itu merupakan pertama kali dalam sejarah tahun ini sehingga menyebabkan rumah, surau dan masjid dinaiki air.
Penduduk berkata hujan lebat lebih tiga jam sekitar 2.30 petang Isnin lalu, menyebabkan banjir kilat berlaku.
Semalam Exco Kesihatan, Wanita dan Kebajikan, Dr Daroyah Alwi turun melawat ke beberapa pusat pemindahan.
Daroyah turut melawat lokasi tanah runtuh yang menjejaskan lima buah rumah di Kampung Baru Salak Tinggi, Sepang.
EZY