Oleh: NAZLI IBRAHIM
SUNGAI BULOH, 8 DIS: Enam Senator pembangkang di Dewan Negara menjanjikan hujah mantap bagi menentang usul Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (RUU MKN) walaupun berhadapan lebih 100 Senator Barisan Nasional (BN).
Senator Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Siti Aishah Shaik Ismail, berkata tugas dipikul enam Senator pembangkang itu bertambah sukar apabila lazimnya Senator BN memberikan sokongan usul kerajaan.
“Pertamanya rakyat kena tahu komposisi di Dewan Negara bukan komposisi yang sama dengan Dewan Rakyat. Komposisi di Dewan Negara ini kebanyakkannya dikuasai Senator Barisan Nasional (BN).
“Kita lihat ini kebanyakkan mereka bertindak memberi sokongan membabi buta tanpa memikirkan kemudaratan kepada negara atau mana-mana pihak,” kata Siti Aishah.
Aishah berkata demikian kepada Selangor Kini pada program ‘Hari ke-300 Pemenjaraan Anwar, Rakyat Masih Bersamamu’ di hadapan Penjara Sungai Buloh pada 6 Disember lalu.
Jelas beliau berbanding di Dewan Rakyat yang memerlukan tiga kali bacaan sebelum sebarang RUU diluluskan, di Dewan Negara hanya memerlukan sekali bacaan sahaja.
Terdahalu, wakil kerajaan BN tergesa-gesa membentangkan RUU MKN sebelum diluluskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju dan 74 lagi menolak.
RUU itu antara lain memberi Perdana Menteri kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai ‘zon keselamatan’ atau dengan perkataan lain ‘zon darurat’ dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.
RUU itu diperkenalkan ketika kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada pada paras paling lemah ekoran pelbagai skandal membabitkan beliau dan dicabar pelbagai pihak dalam dan luar Umno sendiri.
EZY