SHAH ALAM 13 DIS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyampaikan ucapan tahniah kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia selain terima kasih kepada penyokong yang memberikan kerjasama baik.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan media berkata, penyokong Selangor dan Kedah menunjukkan disiplin dan kerjasama baik final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam.
“Kehadiran kira-kira 70,000 penyokong Selangor dan Kedah menghidupkan suasana yang cukup meriah sepanjang perlawanan dan saya dapati tanpa perlu membakar mercun, bom asap atau suar pun mereka tetap boleh memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.
“Saya mewakili FAM berharap sikap dan kelakuan baik ditunjukkan penyokong Selangor dan Kedah, malam tadi dapat diteruskan dan dicontohi penyokong pasukan-pasukan lain untuk perlawanan akhir akan datang atau mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini,” katanya.
Hamidin turut memuji Polis yang memberi kerjasama baik dengan FAM bagi memastikan perlawanan akhir kali ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan.
Jelasnya, kehadiran kira-kira 2,200 anggota polis dan pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan di dalam dan luar stadium dengan baik sebelum, pada dan selepas perlawanan, malam tadi.
“Akhir sekali, FAM ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor yang berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia buat kali ke-33 dan kepada pasukan Kedah, cuba lagi pada musim depan,” katanya.
EZY