Oleh: NAZLI IBRAHIM
AMPANG, 23 DIS: Ekoran sambutan semakin memberangsangkan setiap tahun, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan hadiah kemenangan Kejohanan Futsal Piala Menteri Besar Selangor dinaikkan.
Jelas Mohamed Azmin, pasukan yang berjaya meraih gelaran juara pada kejohanan kali ke-3 ini berpeluang membawa pulang hadiah RM8,000 berbanding tahun lalu hanya RM5,000 sahaja.
“Diharap penganjuran pada masa akan datang lebih meriah lagi dengan disertai lebih banyak pasukan kerana aktiviti seperti ini selain menjadi medan melahirkan bakat baru sukan, ia turut memupuk semangat kesukanan dan mampu meningkatkan kecergasan diri,” kata Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Futsal Piala Dato’ Menteri Besar di Sport Planet Ampang di sini, pada 20 Disember lalu.
Pemenang di tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan membawa hadiah RM5,000 dan RM3,000 berbanding kejohanan sebelumnya RM3,000 dan RM1,000 sahaja.
Lebih bertuah lagi apabila Mohamed Azmin mengumumkan kesemua 64 pasukan yang menyertai kejohanan anjuran bersama Penggerak Belia Tempatan (PeBT), Pejabat DUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Majlis Zon 9 turut menerima hadiah saguhati sebanyak RM500.
Kejohanan yang berlangsung kali ini pasukan Iswad dinobatkan sebangai juara kejohanan selepas menumpaskan Ukay FA dalam perlawanan akhir dan diikuti Azzrell FT di tempat ketiga dan JKKK Selayang Baru menduduki tempat keempat.
Manakala Ahmad Shafeez Ibrahim daripada pasukan Azrell FT dan Syahman Idris daripada pasukan Ukay FA masing-masing dinobatkan sebagai pemain dan penjaga gol terbaik kejohanan.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Mohamed Azmin.
EZY