Categories
SELANGOR

Khazanah Selangor perlu didokumentasikan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 26 DIS: Usaha mengangkat Selangor sebagai kota seni dan pusat kebudayaan perlukan kerjasama semua pihak supaya segala perancangan ke arah itu tidak menjadi sia-sia.

Prof Dr Siti Zainon Ismail, berkata pengisian terhadap usaha terbabit bukan sekadar mengadakan program berbentuk kesenian tetapi lebih daripada itu perlu mengangkat dan memelihara khazanah seni bangsa ke tahap membanggakan.

galerikkb 3“Kerajaan Negeri menyediakan dana besar tetapi jangan pula bila sampai kepada penyelaras, kita kekaburan dan ia hilang entah ke mana.

“Kita kena pastikan pihak atau kumpulan dilantik dengan perjanjian jelas terhadap apa produk mahu dihasilkan. Kalau sekadar menari, latihan silat dan sebagainya tetapi tiada sebarang rakaman atau buku, ia hilang begitu sahaja. Dokumentasi itu penting,” katanya kepada Selangor kini di sini.

Beliau berkata, sebagai negeri terkaya di Malaysia, khazanah Selangor perlu didokumentasikan supaya ia kekal sebagai rujukan semua pihak dan generasi pada masa hadapan.

Katanya, pengertian pembinaan kota seni juga perlu diperluaskan bukan sekadar di bandar besar seperti Shah Alam dan Petaling Jaya sahaja.

“Selangor ini begitu luas dan jangan terlalu ghairah di situ (bandar besar). Kita ada wilayah kecil-kecil seperti Tanjung Karang dan Kuala Kubu Bharu.

“Kota kalau mengikut ertinya bukan bererti kota seperti mana kita kenal, ia adalah tugu atau benteng di mana mendiri kota bererti membina benteng pertahanan.

“Selangor sudah ada benteng macam-macam maka siapa nak jaga kubu (Kuala Kubu Bharu) ini. Tolonglah bina kota dalam aspek menjaga khazanah warisan negeri,” katanya.

Tokoh seni warisan Melayu itu berkata, kebanyakan persembahan besar dijalankan ketika ini digelar tradisional tetapi tidak mengangkat nilai warisan sebenar dan menepati konsep dimaksudkan.

“Sudah sampaikan masanya pemimpin, aktivis, masyarakat dan semua pihak bergabung tenaga dalam menjayakan program seni budaya selain usaha menjalankan kajian serta penulisan bahan sejarah.

“Segala aktiviti sebegini perlu didokumentasikan supaya ia kekal untuk tahun mendatang,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM53 juta bagi menjayakan rancangannya merancakkan sektor seni dengan lima rancangan utama sepanjang 2016.

Lima rancangan itu adalah usaha penterjemahan dan buku audio, melaksanakan projek Peta Kebudayaan, membangunkan Shah Alam sebagai ‘World Muslim Fashion City’, membangunkan Galeri Seni dan Muzium Tekstil di Royal Klang Club dan mewujudkan Studio Terbuka di Petaling Jaya untuk pengkarya muda.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.