Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 7 DIS : Gabungan pembangkang perlu bersifat inklusif dan mengekalkan kerjasama jika mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata “sikap sendiri-sendiri” tidak akan membolehkan hasrat itu tercapai, malah bakal memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN).
“Kalau kita seorang kita tidak mampu, justeru proses perbincangan harus diteruskan kerana ia tidak boleh selesai dalam satu mesyuarat.
“Perlu ada beberapa siri mesyuarat yang perlu kefahaman semua pihak dengan agenda perjuangan jelas iaitu melakukan perubahan di peringkat negara dan Putrajaya.
“Ini hanya berlaku jika semua pihak mempunyai rasa rendah diri untuk menerima pandangan berbeza,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad yang menolak idea dua gabungan pembangkang di negara ini.
Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, demokrasi adalah proses ‘bising’ dengan wujud pertikaian berkenaan sesuatu perkara, namun boleh diselesaikan jika saling bertolak ansur.
Katanya, muafakat boleh dilakukan di pelbagai peringkat baik nasional mahupun negeri seperti Jerman yang mempunyai gabungan berbeza dalam pentadbirannya.
“Kalau kita adalah pengamal demokrasi, maka kita perlu terima realiti ini dengan rendah diri.
“Tetapi perkara seperti ini bukan perkara asing atau luar biasa, yang penting kita mesti dapat sokongan untuk bersatu bagi kepentingan negara,” katanya.
EZY