SHAH ALAM 3 DIS: Tindakan menaikkan kadar tambang Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) kepada RM55 berbanding RM35 adalah tidak munasabah dan ‘gila’.
Pengerusi Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) Malaysia, Datuk A. Chandrakumanan, berkata kenaikan drastik itu membebankan pengguna ekoran kenaikan kos sara hidup.
“Ini masalah pengurusan ERL jika mereka tidak menaikkan tambang ERL dalam tempoh 14 tahun ini.
“Sebagai firma swasta, ERL boleh menaikkan tambang berdasarkan justifikasi mereka, namun peningkatan 57 peratus itu dilihat tidak munasabah.
“Pengurusan ERL tidak harus membebankan pengguna untuk isu operasi syarikat dengan meningkatkan tambang dengan begitu banyak, malah mereka boleh menaikkannya secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor mengumumkan kenaikan kadar tambang ERL RM20 bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Klia2 dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.
EZY