Oleh : AFIX REDZUAN
SELAYANG, 20 DIS: Kehadiran empat pemain baru yang akan beraksi bersama Selangor bakal merancakkan lagi perebutan slot kesebelasan utama musim hadapan.
Ketua Pasukan, Shahrom Kalam, berkata semua pemain tidak boleh merasa selesa dan selamat memandangkan persaingan lebih sengit bakal dilihat memandangkan Selangor berdepan misi mempertahankan Piala Malaysia selain beraksi dalam Piala AFC.
“Kehadiran baru bagus untuk membuatkan kami tidak rasa selesa dan akan bekerja keras merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya kepada Selangor Kini.
Setakat ini, empat pemain baru yang bakal menyertai Skuad Liga Super Selangor adalah penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, pertahanan, Mohd Razman Roslan dan pemain tengah R Gopinathan serta Mohd Hafiz Kamal daripada pasukan Pahang.
Untuk musim hadapan beliau berkata, persediaan lebih rapi perlu dilakukan dan tumpuan sudah pastinya diberikan kepada aspek kecergasan pemain.
Dalam perkembangan sama beliau berterima kasih kepada penyokong yang sudi hadir memeriahkan Jelajah Juara Piala Malaysia (JJPM) selama tiga hari di empat lokasi berbeza.
Beliau berharap penyokong yang bertindak selaku pemain ke-12 akan terus setia kekal menyokong Red Giants musim hadapan.
-nR-