Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR: Zahid usah tuding jari, dedahkan kontrak dan konsesi

Oleh: Fahmi Fadzil

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, DS Zahid Hamidi hari ini yang berkata “najib yang terpalit itu dibuat dari dulu”, berkenaan sikap orang ramai menyalahkan kerajaan kerana kontrak penswastaan yang semakin membebankan rakyat, adalah amat mendukacitakan.

Ini kerana bukan sahaja beliau menggunakan perkataan-perkataan yang tidak patut oleh seorang Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan kanan UMNO-BN, tetapi lebih dari itu beliau enggan melihat isu dari sudut dasarnya.

Zahid-HamidiMasalah yang ada sekarang adalah kesinambungan dari pentadbiran dahulu, itu tidak dipersoal; yang bezanya ialah orang berkuasa seperti DS Zahid mempunyai kewajipan moral sebagai pemimpin nombor 2 negara untuk melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini.

Alangkah sayangnya, DS Zahid kelihatan lebih berminat untuk memberi bayangan tentang siapa yang mencetuskan masalah dari berusaha menyelesaikannya.

Saya menggesa DS Zahid dan Jemaah Menteri untuk bukan sahaja mendedahkan semua kontrak, perjanjian dan konsesi yang mempunyai kesan terhadap kos sara hidup hari ini – termasuklah perjanjian kadar tol lebuhraya – dan tidak lagi berselindung disebalik akta kukubesi seperti Akta Rahsia Rasmi.

Jika benar kontrak, perjanjian dan konsesi ini tidak memanfaatkan malah membebankan hidup rakyat, apakah tidak mungkin ianya dikaji semula dan perjanjian yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat dimeterai?

Rakyat sentiasa melihat dan memerhati gerak langkah pemimpin. Bila tiba waktunya nanti, pemimpin terutamanya mereka yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran kerajaan akan dinilai di dalam “mahkamah rakyat” atas segala tindak-tanduk yang mereka lakukan.

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.