Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 10 DIS : Projek Perintis Kitar Semula Selangor di empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencapai 64 peratus sasaran sepanjang tempoh lapan minggu dijalankan pada September lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata perlaksanaan projek perintis itu juga berjaya mengurangkan pencemaran kutipan sampah dari 30 peratus kepada kurang 10 peratus.
“Kajian dijalankan mendapati kita berjaya mencapai 64% membabitkan penyertaan 587 unit kediaman dan 101 bangunan perniagaan dengan jumlah kutipan sampah kitar semula sebanyak 6,091 kilogram (kg).
“Ia membabitkan kertas (34%); kadbord (19%); plastik (15%); kaca (11); barangan berjadual (7%); barangan potensi (5%); besi (4%); plastik bukan kitar semula (3%) dan tin aluminium (2%),” katanya.
Sebelum ini, empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dipilih menjayakan Projek Perintis Kitar Semula Selangor.
Pelaksanaannya bertujuan mengkaji kekangan dan kemampuan PBT melaksanakan sistem baharu pengasingan sisa pepejal selian mengkaji isu penduduk melaksanakan pengasingan sisa pepejal dan langkah mengatasinya.
Selain itu, bertujuan untuk membuat anggaran kos dan faedah pelaksanaan sistem baharu yang boleh diguna pakai oleh semua PBT negeri itu.
-nR-